Sultan Kedah Yang di-Pertuan Agong ke-14, kali kedua

Saturday, October 15, 2011

SULTAN KEDAH DIISYTIHAR YANG DI-PERTUAN AGONG KE-14 MANAKALA SULTAN KELANTAN SEBAGAI TIMBALAN YANG DI-PERTUAN AGONG | Majlis Raja-Raja dalam mesyuarat khasnya hari ini bersetuju mengisytihar Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baru berkuatkuasa pada 13 Disember ini untuk tempoh lima tahun. Sementara Sultan Kelantan Sultan Muhammad V dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong untuk tempoh yang sama, menurut kenyataan akhbar dari Jabatan Perdana Menteri yang dikeluarkan di sini hari ini. Petikan : Bernama
Yang DiPertuan Agong Ke-14
KUALA LUMPUR, 14 Okt — Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-14.
Pemilihan diputuskan oleh Majlis Raja-Raja dalam mesyuarat khasnya di Istana Negara di sini hari ini.
Pemilihan itu berkuat kuasa 13 Disember ini untuk tempoh lima tahun.

Sementara Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh yang sama, menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri.
Ini adalah kali kedua Sultan Abdul Halim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Kali pertama pada 21 September 1970 untuk tempoh lima tahun, berakhir 20 September 1975.
Sultan Abdul Halim (gambar fail), 83, yang kini Timbalan Yang di-Pertuan Agong akan menggantikan Tuanku Mizan Zainal Abidin yang akan tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13.

Mesyuarat khas Majlis Raja-Raja dipengerusikan oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan dihadiri oleh semua Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja kecuali Sultan Pahang.
Pemilihan dilakukan mengikut peruntukan jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan.
Sultan Abdul Halim, diputerakan pada 28 November 1927 di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah.

Baginda menaiki takhta pada 14 Julai, 1958 selepas kemangkatan ayahanda baginda Sultan Badlishah.
Lulusan Wadham College Oxford United Kingdom dengan ijazah Sains Sosial dan Pentadbiran Awam, baginda pernah menyertai Perkhidmatan Awam Negeri Kedah dalam tahun 1950-an.

Sementara itu, Sultan Muhammad V, 42, dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 pada 13 September 2010.
Canselor Universiti Malaysia Kelantan itu diputerakan di Kota Baharu, Kelantan pada 6 Oktober 1969.

Read more...

Wacana Minda : Agenda pendidikan nasional wajar ditegakkan

BEBERAPA pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyambut baik jaminan Kementerian Pelajaran Malaysia tidak mewujudkan sekolah aliran Inggeris kerana bertentangan Akta Pendidikan dan Dasar Pendidikan Negara.

NGO yang disertai golongan intelektual dan pejuang bahasa itu sebelum ini berpendirian dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan menjadikan semua sekolah aliran sains kepada aliran Inggeris.
Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP), Dr Shaharir Mohamad Zain, berkata GMP menyokong usaha Kementerian Pelajaran menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama negara manakala bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua menerusi dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Mengukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

GMP memohon agar Timbalan Perdana Menteri juga menyeru mana-mana pihak yang selama ini sentiasa mempersoalkan kewarasan dasar kerajaan ini supaya berhenti daripada berbuat demikian. - Dr Shaharir Mohamad Zain, Pengerusi GMP

Beliau yang juga bekas Prof Fizik-Matematik di Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, GMP yang membabitkan 48 persatuan gabungannya menyanjung tinggi ketegasan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bertekad memansuhkan PPSMI.

“Bagi mengamankan lagi suasana pelaksanaan pemansuhan PPSMI itu, GMP memohon agar Timbalan Perdana Menteri juga menyeru mana-mana pihak yang selama ini sentiasa mempersoalkan kewarasan dasar kerajaan ini supaya berhenti daripada berbuat demikian.

“Sebaliknya, semua pihak patutlah bersama-sama membantu kerajaan memartabatkan bahasa Melayu di dalam pendidikan sehingga bahasa Melayu kembali bertakhta seperti sebelum PPSMI dilancarkan,” katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur.

Muhyiddin sebelum ini dilaporkan berkata, beliau bertanggungjawab untuk melaksanakan apa yang termaktub dalam akta dan dasar yang jelas menyatakan bahasa pengantar di sekolah kebangsaan ialah bahasa Melayu atau bahasa Malaysia.
Sementara itu, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) menyatakan kenyataan Timbalan Perdana Menteri itu bertepatan dengan dasar pelajaran kebangsaan yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Presidennya, Dr Mohamad Saleeh Rahamad, berkata kedudukan bahasa Melayu dalam dasar pelajaran kebangsaan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sememangnya tidak boleh diganggu-gugat kerana proses pembentukannya sudah melalui pertimbangan yang saksama dan penelitian yang rapi.

Beliau berkata, pembentukan negara bangsa yang berteraskan satu bahasa perlu dipertahankan.

“Kita tidak wajar berundur daripada agenda pendidikan nasional yang terbukti mewujudkan ketenangan dalam masyarakat di samping memacu kecemerlangan pendidikan dalam kalangan semua bangsa.

“Dasar pelajaran dan sistem persekolahan yang berteraskan bahasa Melayu yang sedia ada sudah terbukti berkesan membangunkan negara,” katanya.

Mohamad Saleeh berkata, jika ada keperluan untuk mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris, biarlah kaedah lain digunakan, bukannya dengan mewujudkan sekolah dua aliran.

Katanya, sekolah dua aliran hanya akan melebarkan jurang masyarakat kerana sudah pasti kedudukan pelajar beraliran Inggeris diberi perhatian oleh majikan kerana pasti mereka memiliki persepsi yang berat sebelah berbanding pelajar beraliran bahasa Melayu.

Beliau berkata, pendirian PENA itu tidak bermakna pembelajaran bahasa Inggeris perlu dipinggirkan, malahan NGO itu menyokong dasar MBMMBI.- bharian

Read more...

About This Blog



I changed my font at thecutestblogontheblock.com

http://bicarafarah.blogspot.com/2010/11/tutorial-3-membuat-pages-pada-blog.html...

  © Blogger template Noblarum by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP